Pages

Selasa, 22 Januari 2013

Malaysia Tanah Melayu ialah Negara ISLAM

 Tanggapan-tanggapan yang salah mengenai Islam di Malaysia.


بسم الله ,الحمدلله ,والصلاة والسلام على رسول الله , وعلى آله و صحبه و من والاه

         Walaupun telah lama dibentangkan, merasakan amat berguna untuk kita yang mahu berfikir.Umat Islam akan mudah di perkotak-katikkan jika tidak bersatu. Saya copy paste kan kertas kerja supaya kita dapat peroleh manfaat bersama.


Kertas ini telah dibentangkan di “Seminar Mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara” (SEMAIAN) di Masjid Negeri Shah Alam pada 17 Ogos 2011; ianya pertama kali dibentang di Konvensyen Pemacuan Tranformasi Sistem Perundangan Islam Di Malaysia anjuran IKIM dan MAIS pada 5-6 April 2011. HAJI MAHAMAD NASER BIN DISA (DAMAI)







Setelah kemerdekaan dan pembentukan sebuah Negara Persekutuan menjangkau lebih separuh abad, kemampuan perundangan Islam Negara untuk menangani segala krisis dan cabaran mega yang sedang melanda Negara masih di tahap yang meragukan.
Islam dimartabatkan sebagai Agama Negara, tetapi tahap pematuhan kepada prinsip ajaran Islam tidak dapat dinilai dan dipantau sebagaimana tahap pematuhan kepada prinsip Hak asasi manusia (HAM) yang dipantau oleh sebuah suruhanjaya bebas.

    Adakah pematuhan kepada prinsip HAM lebih utama dari pematuhan kepada prinsip agama Negara?
    Adakah agama Negara sudah bertukar dari Islam kepada Negara HAM?

Prof Ulung Negara, Tan Sri Prof. Dr Muhd. Kamal Hassan menukilkan [i]–
Krisis-krisis besar yang lahir daripada tamadun manusia moden masakini, antara lain ialah:
a) krisis sistem ekonomi kapitalisme yang meluaskan jurang ketidakadilan dan jurang antara golongan kaya dan golongan miskin,
b) krisis sistem politik dunia yang, atas nama demokrasi liberal dan hak-hak asasi manusia, mengekalkan ketidakadilan, kezaliman dan penindasan negara-negara yang kuat ke atas negara-negara, masyarakat-masyarakat dan minoriti-minoriti yang lemah, termasuk umat Islam Palestin, Kashmir, Xinkiang, Moro, Chechen dan Patani, dan
c) krisis budaya dan moral yang dijiwai oleh fahaman sekular Barat , modernisme, liberalisme,pluralisme, hedonisme dan pasca-modernisme.
Umat Islam kini berhadapan dengan krisis yang amat besar. Gejala sosial di kalangan umat Islam akibat dari kegagalan memartabatkan agama Islam sebagai agama Negara sebagaimana yang diikrarkan oleh Ketua Utama Negara Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengundang berbagai bencana sosial dan kehilangan penguasaan ekonomi yang seolah-olahnya mustahil untuk dicari semula. Selanjutnya Prof Ulung Negara itu meneruskan penjelasan.
Umat Melayu Islam di Asia Tenggara tentunya tidak terlepas daripada cengkaman krisis-krisis besar itu, dan implikasi ke atas sistem pendidikan yang mampu mendepani krisis-krisis besar itu amat serius.
Di samping krisis-krisis dalam era globalisasi atau era dominasi sistem kapitalisme dan liberalisme ini, terdapat juga cabaran merebaknya gerakan Kristianisasi, aliran liberalisme atau neo-modernisme di kalangan cendekiawan Melayu Islam di satu pihak, dan ektremisme kelompok-kelompok Muslim radikal di pihak yang lain.
Pada masa yang sama aliran budaya hedonistik, konsumeristik, individualistik serta ketagihan dadah atau narkotika dan ketagihan budaya maya di alam siber di kalangan remaja, peningkatan jenayah seks, gejala pembuangan anak dan lain-lain gejala sosial yang mengerikan ternyata semakin meluas.

    Ringkasnya umat manusia dan umat Islam sedang berada dalam satu era pancaroba yang disebut oleh Alan Greenspan sebagai “The Age of Turbulence”(Greenspan, 2008), suatu zaman dalam mana kecemerlangan sains moden dan sekular telah mencapai kemuncak kegemilangannya dari segi ciptaan-ciptaan dan penemuan-penemuan saintifik yang menakjubkan (dan yang amat bermanfaat), tetapi kekufuran, keegoan dan keangkuhan akal (reason) bebasnya telah mencipta pelbagai jenis malapetaka ekonomi, politik, budaya, intelektual dan moral kerana membelakangi petunjuk Allah S.W.T., bimbingan para Rasul, hukum-hukum Allah S.W.T. dan ajaran-ajaran agama Allah S.W.T. Tamadun timpang dan cacat ini didirikan atas sistem pendidikan moden sekular Barat, yang kemudian diterapkan di negara-negara orang Islam termasuk dunia Melayu Islam.

Ternyata pola pemikiran yang beroperasi dan menjadi asas budaya dan tamadun hari ini adalah berasaskan pemikiran sekular Barat yang mendominasi pemikiran umat Islam dan pemimpin mereka. Idea-idea barat tentang bentuk Negara dan nature manusia dan masyarakat dipercayai dan dipegang dengan kuat di seluruh dunia Islam.
Hal ketuhanan dan keagamaan dilihat dari perspektif hak asasi manusia dan hak kebebasan beragama dan jauh sama sekali dari prinsip kepatuhan dan penyerahan kepada kekuasaan Ilahi. Di atas kepura-puraan hak kebebasan beragama, ajaran dan pegangan Islam mengenai nature kemanusiaan cuba dihapuskan dari pemikiran umat Islam dan digantikan dengan keagungan kekuatan daya intelektual manusia.
Keagamaan hanya dieksploit untuk menghentam Islam dengan berbagai gambaran negative seperti ekstremist, fundamentalist, penindas terhadap wanita, kelompok gay , lesbian, minoriti dan berbagai lagi.
Walaupun begitu besar gelombang cabaran yang dihadapi oleh umat Islam dan pemimpin mereka, Prof Ulung Negara amat optimis dan menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap kemampuan umat Islam bagi menghadapi berbagai cabaran ini.
Tetapi semua cabaran di atas — dari krisis ekonomi dan kemiskinan, politik, budaya dan moral sampai ke budaya korupsi, kolusi, nepotisme, dan tirani — merupakan dugaan dan cubaan (ibtilaa’) dari Allah S.W.T. bagi menguji kekuatan iman, kekuatan ilmu, kekuatan amal dan kekuatan rohani para Mukmin sejati yang menjadikan cinta kepada Allah S.W.T. dan Rasul serta iltizam untuk berjuang pada jalan Allah S.W.T. (jihaad fii sabiili’Llaah) sebagai nilai tertinggi dalam kehidupan di dunia. Malah cabaran-cabaran itu boleh dilihat sebagai peluang-peluang keemasan pejuang-pejuang pendidikan untuk mewujudkan suatu sistem pendidikan bagi umat Melayu Islam yang:
a) Membawa rahmat ke seluruh manusia,
b) Membawa penawar bagi umat yang sedang sakit,
c) Pembawa penyelesaian bagi umat yang berpecah, dan
d) Mampu mengeluarkan umat dari kubang-kubang korupsi dan kemiskinan, dari jerat kegilaan harta dan kuasa, dan dari tipu muslihat hubb al-dunyaa dan tipu daya tamadun sekular dengan segala jenis deception (al-ghuruur) yang memperdayakan golongan pemimpin dan golongan yang berpendidikan tinggi selama ini.
Inilah ransangan untuk pemimpin umat Melayu Islam bangkit dari kealpaan dan kelekaannya, mengambil semula obor kepimpinan sejagat yang pernah dibawa tamadun Islam zaman silam.
Perubahan pemikiran yang perlu dirintis oleh umat Islam dan pemimpin mereka adalah dengan melakukan pelbagai koreksi atau pembetulan kepada berbagai salah tanggapan yang pada hakikatnya menjadi sumbangan terbesar kepada segala macam cabaran dan permasalahan yang mencengkam umat Islam.
Umat Islam berkewajipan untuk melakukan transformasi pemikiran dalam menanggapi sistem perundangan Negara supaya roh sebenar Perlembagaan dapat dicapai dan direalisasikan secara berkesan. Berbagai-bagai persepsi salah yang selama ini membelenggu pemikiran kita wajib diperbetulkan.
Antara salah tanggapan terhadap perkara-perkara asas dalam Perlembagaan yang wajib diperbetulkan oleh umat Islam di Malaysia dalam proses transformasi perundangan Islam ini adalah:
Salah tanggapan No. 1 – Islam sekadar Agama rasmi.
Ungkapan ini jauh tersasar dari kedudukan yang sebenar sebagaimana yang termaktub dalam perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan – “ Islam is the religion of Federation…”
Perkataan “rasmi” adalah sekadar tambahan, tetapi impaknya telah mengelirukan semua pihak dan membuat tanggapan yang salah mengenai kedudukan Islam di Negara ini hingga menjadi – “Malaysia adalah sebuah negara demokrasi sekular dengan Islam sebagai agama resmi.” Hakikatnya ketiga-tiga perkataan – demokrasi, sekular dan rasmitidak wujud sama sekali dalam Perlembagaan.
Banyak pihak yang berhujah bahawa ungkapan ini telah digunapakai dan “diterima” oleh banyak pihak sejak Negara mencapai kemerdekaan.

        Persoalannya di manakah keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang seandainya seandainya penerimaan yang tidak betul ini dibiarkan berterusan?
        Apa jadi kepada sumpah Agong di bawah perkara 37 Perlembagaan atas nama suci Allah?

    Hanya orang yang tidak mengenali dan beriman dengan Allah sahaja yang tergamak untuk menghilangkan ketinggian nilai sumpah Agong itu.

Pendekatan untuk menambah perkataan rasmi itu hanyalah suatu strategi politik ketika negara baru mencapai kemerdekaan dan berhadapan dengan darurat akibat dari ancaman komunis yang tidak percayakan tuhan.
Bagi mengelakkan masyarakat bukan Islam dari terus menjauhkan diri dari menyertai pemerintahan Negara yang baru ini, maka pendekatan sedemikian dilakukan oleh ahli politik ketika itu.
Namun begitu dalam suasana hari ini di mana agama Negara ini benar-benar mahu dihakis dan prinsip-prinsip demokrasi sekular sedang melanda dengan hebatnya dalam era globalisasi ini adakah perlu pendekatan sedemikian diteruskan?
Berdasarkan fahaman yang tersasar ini pemikiran sekular terus menular dalam pemerintahan Negara. Prinsip dan ajaran Islam tidak mampu mengawal dan dan mengawasi aktiviti pemerintahan Negara sama ada dalam penggubalan dasar atau undang-undang.

    Prinsip ajaran Islam tidak diberikan perhatian sewajarnya dalam penggubalan dasar ekonomi, pendidikan, sosial, budaya, serta lain-lain dasar yang pernah digubal.
    Apabila sahaja disebut tentang Islam, para pentadbir dengan petah dan secepat kilat menolaknya dengan dalihan “kita masyarakat majmuk”, “Islam tanggungjawab Negeri”. Lebih dahsyat dari itu ada yang mengeluarkan kata-kata yang boleh menjerumuskan kepada kemurtadan – “kalau kita ingin maju, agama perlu ditinggalkan!

Sedangkan Mahkamah Persekutuan, Mahkamah tertinggi Negara Dalam kes Lina Joy v Majlis agama Islam Wilayah Persekutuan & 1 Lagi [2007] 4 MLJ 585 telah memberikan tafsiran yang lebih luas kepada Islam yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya adalah juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman.
Jelas bahawa Mahkamah tertinggi Negara telah mengubah tafsiran Islam yang sempit yang diberikan oleh Tun Mohd Salleh Abas dalam kes Che’ Omar kepada tafsiran yang luas . Akan tetapi kenapa umat Islam masih mahu berpegang kepada tafsiran sempit itu dan tidak mempedulikan tafsiran yang luas dalam kes Lina Joy.
Salah Tanggapan Ke 2 – Malaysia Negara Sekular
Salah tanggapan mengenai hakikat kedudukan sebenar Islam sebagai Agama Negara menjadi penyumbang terbesar kepada kelangsungan hayat pemikiran sekular Barat di Negara ini. Faktor utama kepada pegangan sebegini berpunca daripada hakikat bahawa Perlembagaan Negara dirintis oleh sebuah suruhanjaya yang diketuai oleh Lord Reid dengan dianggotai oleh hanya seorang hakim beragama Islam dari Pakistan.[ii]

    Namun begitu tidak ramai yang menyedari fungsi dan peranan Suruhanjaya ini yang pada hakikatnya hanya menyediakan laporan. Sebuah Jawatankuasa Kerja yang dikenali sebagai Jawatankuasa White Paper juga bertanggung jawab untuk mencadangkan pindaan-pindaan terakhir kepada cadangan Suruhanjaya Reid selaras dengan kehendak Raja-raja Melayu, pemimpin-pemimpin politik, pemerintah British bagi memuktamadkan Perlembagaan dalam proses menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu.

Jawatankuasa itu juga telah mengambil pendekatan menerima memorandum Perikatan untuk memasukkan prinsip Islam sebagai Agama Persekutuan “tetapi ia tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini”[iii].
Namun begitu perlu diberikan perhatian bahawa hanya Hakim Abdul Hamid dari Suruhanjaya Reid dan Jawatankuasa White Paper yang bersetuju menerima memorandum Perikatan untuk memasukkan – Islam sebagai Agama Persekutuan; tetapi ia tidak menafikan hak penganut agama lain untuk mempraktis agama mereka; dan “ia tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini”.
Dari tiga cadangan dalam memorandum Perikatan berkaitan agama Negara itu, hanya 2 perkara sahaja yang telah diterima dan dipersetujui iaitu – Islam sebagai Agama Persekutuan; tetapi ia tidak menafikan hak penganut agama lain untuk mempraktis agama mereka; namun limb ketiga yang berbunyi “tidak menafikan ciri-ciri sekular Negara ini” telah ditolak dan tidak dimasukkan dalam mana-mana bahagian dalam Perlembagaan.
Dengan menggugurkan ayat ini perkataan “sekular” lenyap sama sekali dari Perlembagaan Persekutuan. Justeru warga negara Malaysia berkewajipan untuk menerima hakikat bahawa tiada sepatah pun perkataan “sekular” yang wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan. Persoalannya kenapa Malaysia masih dianggap sebagai negara sekular?
Adakah hanya kerana ayat kedua dalam perkara 3(1) yang berbunyi “but other religion may be practiced in peace and harmony in any part of Malaysia”telah menukar pegangan negara dari Islam kepada sekular?

    Bukankah ajaran Islam itu sendiri memberikan kebebasan manusia yang tidak beriman untuk mengamalkan ajaran agama mereka tanpa dikenakan paksaan untuk menerima Islam atau dihalau dari masyarakat Islam? Ternyata limb kedua tersebut tidak sedikitpun mencacatkan pegangan Islam Negara ini.
    Pegangan bahawa Malaysia adalah Negara sekular boleh dianggap sebagai penghinaan kepada undang-undang tertinggi negara.
    Kecelaruan sebegini terus dicengkam pengaruh pemikiran moden sekular Barat yang mendominasi pemikiran pewaris legasi penjajah British yang kononnya berpaksikan semangat nasionalisme.

Ia ditambah pula dengan sikap simplistik umat Islam dan sebahagian ulama’ dan pendokong gerakan Islam yang mengambil jalan mudah ketika berhadapan dengan pendokong pemikiran sekular bahawa pemerintahan Negara ini terikat dengan legasi British termasuk pemikiran dan dasar pemerintahannya sekali. Lantas mereka mengambil kesimpulan simplistik – Malaysia Negara sekular, Perlembagaan Sekular, wajib ditegakkan Negara Islam.
Kedua-dua pendekatan di atas – mengikat pemikiran dengan pengaruh sekular barat dan pendekatan simplistik Perlembagaan sekular – pada hakikatnya telah mengetepikan sumpah Ketua Utama Negara – YDPA atas nama Allah dengan lafaz Wallahi; Wabillahi; Watallahi; untuk memelihara agama Islam pada semua masa.
Sumpah Baginda YDPA bukanlah sekadar satu upacara kerana ia diperuntukkan secara nyata dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan di mana YDPA mesti bersumpah dengan lafaz sedemikian yang terkandung dalam Jadual keempat Perlembagaan Persekutuan.
Persoalan yang perlu diberikan perhatian juga tentang sumpah Agong itu adalah tentang kedudukan lafaz Wallahi; Wabillahi; Watallahi; yang bukan suatu lafaz yang hanya berbetuk upacara (ceremonial) sahaja sebaliknya ia adalah satu sumpah yang mengikat.

    Ada pihak yang cuba memberikan hujah mengelirukan dengan mengemukakan kes Che’ Omar Che’Soh yang sering digunakan oleh pengamal dan pelajar undang-undang dan sesetengah orang Islam kononnya Tun Salleh Abas pernah memutuskan Malaysia adalah negara sekular.

Cerita ini amat mengelirukan sama sekali kerana Tun Salleh hanya mengatakan undang-undang yang sedang berkuat kuasa adalah undang-undang sekular dan bukannya negara ini negara sekular. Bahkan Tun Salleh memberikan pendapatnya dalam kes berkaitan hukuman mati sama ada bercanggah dengan Islam dan bukan isu sama ada negara ini Islam atau Negara sekular.
Dalam isu ini Prof Dr. Abdul Aziz Bari berpendapat:
Apa pun tanggapan kita terhadap kedudukan Islam dalam perlembagaan hari ini, suatu yang jelas ialah bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular. Meskipun pihak perikatan mendakwa sebaliknya, daripada segi konsepnya adalah ganjil untuk mengatakan bahawa negara ini sekular sedangkan dalam masa yang sama ada peruntukan mengenai agama dalam perlembagaan. Negara sekular yang sebenar tidak mengizinkan negara turut serta dalam membantu menegakkan agama atau mengizinkan wang pembayar cukai digunakan untuk tujuan-tujuan agama.
Salah tanggapan ke 3 – Kedudukan Islam lebih rendah dari Perlembagaan.
Perkara 4(1) Ketinggian Perlembagaan- tidak menafikan kedudukan Islam sebagai agama Negara, malah ia memartabatkan perkara 3(1) – Islam Agama Negara sebagai undang-undang tertinggi.
Kenapa kita perlu menjunjung sistem dan prinsip Barat yang langsung tidak disebutkan dalam Perlembagaan sebagai sebahagian dari undang-undang tertinggi Negara?
Sedangkan peruntukan yang jelas mengenai Islam sebagai Agama Negara itu adalah perkara yang pertama sekali disebutkan, dan diikrarkan oleh YDPA, dikesampingkan dan dipinggirkan hingga tidak dianggap sebagai undang-undang tertinggi?
Terserlah lah sikap hipocracykelompok sekular dalam menanggapi kedudukan Islam dalam perlembagaan mencecah ke tahap pembohongan yang amat besar dalam sejarah Malaysia moden. Justeru salah tanggapan ini perlu diperbetulkan.

    Islam sebagai Agama Negara mesti dihormati dan dipatuhi. Sebarang dasar dan undang-undang yang digubal mestilah tidak bercanggah dengan agama Negara dan memelihara ketinggiannya adalah menjadi kewajipan pemerintah.
    Kewajipan untuk memastikan segala aspek pemerintahan Negara perlu mematuhi prinsip agama Islam bukan sahaja berasaskan kepada kedudukan Islam sebagai agama negara, malah ia bertunjangkan kepada komitmen YDPA sebagai Ketua Utama Negara sebagaimana yang dilafazkan dalam sumpah baginda.

Sumpah Agong yang perlu dilafazkan selaras dengan kehendak perkara 37 Perlembagaan Persekutuan adalah sepertimana yang dilakarkan dalam Jadual keempat Perlembagaan Persekutuan.
Salah Tanggapan ke 4 – Hak Kesamarataan agama – Equality of Religion
Walaupun Perlembagaan melarang diskriminasi atas dasar agama semata-mata, namun terdapat pelbagai pengecualian dalam hal kedudukan agama-agama. Mahkamah tertinggi Negara dalam banyak kes telah memutuskan bahawa Islam sebagai agama bagi persekutuan tidak sama dengan agama –agama lain.
“…kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berlainan daripada kedudukan agama-agama lain. Pertama, hanya Islam, sebagai satu agama, yang disebut dengan namanya dalam Perlembagaan Persekutuan, iaitu sebagai ‘agama bagi Persekutuan’ … Perkara 3 Fasal (1).
Tun Ahmad Fairuz dalam kes Lina Joy
Agama-agama lain boleh diamalkan selagi ia tidak memecah keamanan, namun jika amalannya sudah menampakkan tanda-tanda tidak harmoni dan boleh memecah keamanan, maka amalan berkaitan perlu dihalang.
Hakikat ini perlu ditegaskan dan diterima oleh pemerintah dan semua rakyat Malaysia bahawa – Negara Malaysia beragama Islam, bukan sekadar “agama resminya Islam” (sbgmana yang sering disalahtafsirkan) sebaliknya “agama Negara adalah Islam” – “Islam is the religion of Federation” art-3. Hanya Islam agama Negara, Malaysia bukanlah sebuah negara syirik yang menganuti berbagai agama.

    Malaysia bukan negara pluralisme yang mengiktiraf kebenaran agama-agama lain. Sumpah YDPA atas nama Allah jelas menunjukkan fahaman pluralisme tidak diterima dalam Perlembagaan. Agama-agama lain sekadar agama yang boleh diamalkan dan tiada kewajipan atas kerajaan untuk memelihara atau mempertahankan agama-agama lain.

Justeru, perkara 12(2) Walaupun Perlembagaan Persekutuan membolehkan pertubuhan agama-agama menubuhkan institusi mereka sendiri, namun Kerajaan Negeri atau kerajaan Persekutuan hanya dibenarkan oleh perlembagaan untuk menubuhkan atau membantu menubuhkan apa-apa institusi berkaitan agama Islam.
Suatu suruhanjaya yang dinamakan Suruhanjaya antara Agama (Inter-faith Commission-IFC) pernah dicadangkan penubuhannya sebagai sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang-undang termasuk ke atas agama Islam.
IFC bertindak dan berfungsi sebagai badan yang mendengar kes-kes berkaitan hak individu dalam mengamalkan kebebasan beragama. Mereka beranggapan kedudukan agama Islam adalah sama dengan agama-agama lain di sisi perlembagaan negara
Salah Tanggapan ke 5 – Legasi Penjajah yang bercanggah dengan Islam dianggap sistem konventional manakala sistem Islam sekadar alternatif.
Sistem perundangan masih bersandarkan undang-undang common law Inggeris, sedangkan tiada peruntukkan dalam Perlembagaan yang mewajibkan undang-undang sekular itu diteruskan.
Bahkan undang-undang yang membolehkan ia terus bernafas di negara ini selepas Merdeka sebenarbya terletak dalam bahagian Temporary and Transition – Sementara dan Peralihan. Civil Law Act 1956 hanya membenarkan rujukan kepada Undang-undang Inggeris sekiranya keperluan setempat memerlukannya.
Rujukan kepada prinsip undang-undang Islam dalam sistem perundangan langsung tidak dikembangkan. Hanya dalam aspek yang mendatangkan keuntungan ekonomi, rujukan kepada Islam diberikan seperti perbankan Islam.
Sistem pendidikan Islam hanya sekadar alternatif sedangkan ia sewajarnya menjadi sistem pendidikan mainstream berdasarkan kepada kedudukan Islam sebagai agama Negara.

    Kolej Islam Malaya yang diwakafkan oleh Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah dan Raja-raja Melayu serta umat Islam di Tanah Melayu dan Brunei suatu ketika dahulu pernah muncul sebagai Kolej Universiti wakaf yang pertama di Tanah Melayu pada tahun 1955 dan berjaya melahirkan tokoh-tokoh Islam ternama berterusan “pengsan” hingga kini setelah Fakulti Pengajian Islam UKM ditubuhkan.

Dalam hal ehwal pentadbiran pula hingga kini sebahagian besar jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-negeri masih tidak mahu diberikan kepada lulusan agama. Apakah jawapan kita kepada gejala sosial berlaku secara meluas di kalangan remaja Islam?
Bukankah ia berpunca dari sikap pentadbir dan pembuat dasar di kalangan umat Islam sendiri yang sentiasa memandang sinis kepada apa saja yang bersifat keagamaan sedangkan kita juga turut menanggung sumpah Agong atas nama suci allah untuk memelihara Islam.
Salah tanggapan Ke-6 Memperjuangkan Islam dianggap cenderung kepada pembangkang.
Pihak-pihak yang menyuarakan supaya negara ditadbir menurut prinsip dan dasar Islam dilabelkan dengan pelbagai gelaran negatif – golongsan fanatik, pemecah perpaduan, extremist, fundamentalis, terrorist, talibanese dan disisihkan dari arus perdana.
Suatu ketika dulu para pendakwah yang lantang menuntut Islam dimartabatkan dinyahkan sama ada dalam kurungan atau ditransfer jauh ke pendalaman dan tidak dinaikkan pangkat. Mereka dilabelkan sebagai anti-establishment.

    Malah terdapat agensi-agensi tertentu yang bersifat nasionalisme dianggap patriotik mendominasi pentadbiran kerajaan melemparkan pelbagai tohmahan kepada golongan pelajar yang cenderung kepada agama, disisihkan dari program-program tertentu. Ada juga sekolah-sekolah, bahkan sekolah-sekolah agama turut serta mengekang para pelajar dari mendalami agama Islam menerusi kegiatan dakwah.

Sekarang apabila kita berhadapan dengan pelbagai tekanan dan cabaran sekularisme hingga menghasilkan gejala sosial yang tidak terkawal dan jurang perbezaan ekonomi yang amat lebar, kelompok nasionalisme ini terus-menerus menyalahkan golongan agama kerana kononnya tidak pro-aktif dalam menyebarkan ajaran agama untuk menyekat gejalan sosial.
Sedangkan hakikatnya pihak-pihak yang berusaha untuk mendaulatkan Islam adalah golongan mainstream yang menepati kehendak Perlembagaan.
Salah tanggapan ke 7 – Islam Tanggung jawab Negeri
Oleh kerana hal ehwal pentadbiran agama Islam secara tradisinya berada di bawah kuasa Sultan/Raja sebagai ketua agama, tuntutan supaya ajaran Islam dipatuhi dalam sebarang penggubalan/pelaksanaan dasar atau undang-undang di peringkat persekutuan sering kali diketepikan atas alasan tanggungjawab memelihara Islam adalah terletak di bawah urusan Negeri.
Sedangkan sebahagian besar urusan pemerintahan dan pentadbiran Negara berada dalam senarai Persekutuan. Justeru adalah menjadi tanggungjawab persekutuan untuk meastikan penggubalan atau pelaksanaan dasar bagi perkara berkenaan mematuhi agama Negara atau tidak menjejaskan agama Negara.
Prof Muhammad Imam ketika mengupas kewajipan mengenai Islam di bawah Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan berpendapat[iv] –
This provision worded as it is, lends itself to a persuasive interpretation that it casts upon the ‘Federation’ a positive obligation to protect, defend and promote the religion of Islam and to assist, enable and facilitate Muslims, individually or collectively, to order their lives in accordance with the Injunctions of Islam.
Said Maulana S. Abdul Ala Maududi:
A very large part of the Islamic system of law, however, needs for its enforcement, in all its details, the coercive powers and authority of the state. Political power is essential for protecting the Islamic system of life from deterioration and perversion, for the eradication of vice and the establishment of virtue and, finally, for the enforcement of all these laws that require the sanction of the state and the Judiciary for their operation.
Dalam banyak keadaan sesetengah pihak di Persekutuan ataupun Negeri tidak begitu selesa untuk merangka atau melaksanakan dasar atas semangat dan roh bagi bagi tujuan memelihara agama Negara tetapi lebih memberikan penekanan kepada prinsip-prinsip lain seperti toleransi perpaduan, kemajuan material, kecemerlangan duniawi, pengiktirafan antarabangsa, hak asasi dan sebagainya.
Dalam memerangi rasuah sebagai contohnya, penekangan lebih diberikan kepada undang-undang dan moraliti tetapi aspek pematuhan kepada ajaran agama amat kurang diberikan. Justeru berleluasalah politik wang, politik projek dan sebagainya yang amat bercanggah dengan prinsip Islam. Dalam hal ini Prof. Ulung Negara menyimpulkan.
Tetapi sekiranya set minda pembuat dasar masih bersifat fragmented dandualistik, dan keutamaan pertumbuhan ekonomi tidak digabungkan dengan keutuhan etika, integriti dan nilai-nilai kerohanian secara serius, masyarakat Melayu Islam akan terus berenang dalam arus perdana yang tidak semuanya menepati tuntutan agama Islam.

    Hakikatnya semua pihak yang ada kaitan dengan pemerintahan Negara adalah terikat dengan Sumpah YDPA bagi memelihara Islam sebagai agama Negara ini, Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan menjadikan kewajipan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melafazkan sumpah untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.
    Lafaz sumpah yang dimulakan dengan Wallahi; Wabillahi; Watallahi; itu pada hakikatnya adalah juga mengikat semua pihak yang terlibat dengan urusan pemerintahan Negara ini kerana Baginda adalah Ketua Utama Negara di bawah Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Perkara 39 pula kuasa eksekutif Persekutuan juga terletak hak pada YDPA. Oleh kerana Kabinet dan pekhidmat awam menjalankan kuasa eksekutif bagi pihak YDPA, semua anggota kabinet dan pekhidmat awam terikat dengan sumpah YDPA tanpa mengira kedudukan agama mereka. Sebarang nasihat yang diberikan kepada YDPA di bawah perkara 40 Perlembagaan juga mestilah tidak boleh menjejaskan kedudukan agama Islam.
Salah Tanggapan ke 8 – Pihak Berkuasa Agama Negeri Berada di bawah Kawalan Kerajaan Negeri.
Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri-negeri memartabatkan Sultan atau YDPA sebagai Ketua Agama Islam Negeri. Dalam hal pentadbiran Agama Islam Baginda dibantu oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang merupakan pihak berkuasa agama Negeri yang utama selepas Sultan/YDPA.
Walau bagaimanapun kedudukan ini sering disalah tanggap. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) atau Kerajaan Negeri sering dianggap sebagai pihak berkuasa termasuk dalam hal ehwal agama yang termaktub dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Fahaman dan pendekatan sebegini adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. Islam sebagai Agama Negeri dan Agama Negara tidak tertakluk di bawah kuasa politik. Sebaliknya Kerajaan Negeri yan tertakluk kepada prinsip Islam dalam menjalankan pemerintahan Negeri.

    Justeru, walau pun menjadi kewajipan kepada Kerajaan Negeri menyediakan kewangan, kemudahan dan pegawai-pegawai untuk berkhidmat kepada MAIN, namun MAIN TIDAK bertanggungjawab (accountable) kepada Kerajaan Negeri kerana MAIN bertanggungjawab terus kepada YDPA/Sultan.

Begitu juga para pekhidmat awam Negeri yang ditugaskan dalam hal ehwal berkaitan agama seperti JAIN, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah adalah bertanggungjawab kepada MAIN dan bukan kepada Kerajaan Negeri.
Kerajaan Negeri masih bertanggungjawab untuk melakukan pembangunan dalam hal ehwal agama Islam tetapi tertakluk kepada kawalan dan kebenaran MAIN. Justeru adalah tidak wajar bagi mana-mana Kerajaan Negeri untuk mencampuri hal-hal berkaitan penentuan hukum Syarak walaupun ia berkewajipan untuk mematuhi dan menghormati hukum Syarak.
Salah Tanggapan ke 9 – Sejarah Islam Negara Bermula pada 1957
Kegemilangan sejarah Negara bukanlah hanya bermula selepas kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957 atau semasa pembentukan Malaysia pada September 1963, malah kedaulatan kerajaan-kerajaan Melayu telah lama berdiri teguh sejak berabad-abad lamanya.
Jika disandarkan pada Batu Bersurat Terengganu, kedaulatan Kerajaan Melayu yang berteraskan ajaran Islam telah bertapak kukuh sejak kurun ke-13 lagi. Fakta ini diteguhkan lagi melalui pemakaian undang-undang kanun-kanun Negeri-Negeri Melayu (Malay Digest) yang berlandaskan hukum Syarak.
Fakta sejarah juga membuktikan bahawa semasa Sistem Residen berkuat kuasa di Negeri-negeri Melayu, Raja-raja Melayu tetap berdaulat –
The Resident System did not change the status of the Malay States to be part of British Colony. In 1878 The Colonial secretary has written a letter to the Resident of Pahang –
The Residents have been placed in the native states as advisers, not as rulers, if they upon themselves to disregard this principle, they will most assuredly be held responsible if trouble springs out of their neglect of it.[v]

    Percubaan British untuk menjajah Tanah Melayu melalui gagasan Malayan Union pada tahun 1946 telah gagal apabila dibantah keras oleh orang Melayu ketika itu. Justeru, Negeri-Negeri Melayu terus bernaung di bawah perlindungan dan nasihat Residen British yang kemudiannya membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Perlu disebut bahawa pada waktu itu, Raja-Raja Melayu terus berdaulat, manakala Residen dan Residen Jeneral British hanya berperanan sebagai penasihat.
    Menurut Prof. Dr Abdul Aziz Bari, meskipun perlembagaan yang ada sekarang mula beroperasi pada 31 Ogos, 1957, bukan bererti bahawa segala bermula di situ. Sebagai contohnya, selepas Persekutuan Tanah Melayu dibentuk dalam tahun 1948, negeri Melayu mula mempunyai perlembagaan sendiri.
    Apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sebahagian besar daripada peruntukan dalam perlembagaan tersebut dikekalkan. Antara perubahan penting yang diperkenalkan ialah peruntukan supaya raja Melayu menjadi raja berperlembagaan

Terdapat beberapa ciri tempatan yang kesemuanya menekankan bahawa Perlembagaan Persekutuan bukanlah sesuatu yang asing. Kedudukan raja, hak keistemewaan orang Melayu, kedudukan Islam serta Bahasa Melayu adalah lanjutan sistem dan unsur-unsur tradisional yang telah wujud sebelum kedatangan British lagi. Perkara ini boleh dianggap istimewa kerana peruntukan berkenaan tidak boleh dipinda melalui suara majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat dan Negara.[vi]

    Mengenai Islam pula, kedudukan Islam adalah penerusan daripada peruntukan yang ada dalam perlembagaan negeri Melayu sebelum tahun 1957. Walaupun perlembagaan bertulis boleh dikatakan sebagai satu fenomena yang baru, penetapan Islam sebagai agama negeri boleh dilihat sebagai usaha untuk mengakui dan menjelaskan nilai dasar negeri Melayu.
    Sebelum kedatangan British perkara ini mungkin tidak perlu kerana sebelum itu tidak wujud masyarakat bukan Islam yang besar jumlahnya. Mungkin boleh juga dihujah bahawa keadaan sebelum British juga tidak menghendaki perlunya Islam dinyatakan secara rasmi dalam undang-undang tubuh negeri Melayu.

Umat Islam berkewajipan untuk mempertahankan sejarah Kedaulatan Islam yang cuba dihakis oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.Ini bagi mengelakkan berulangnya sejarah Kedaulatan Kesultanan Melayu Johor di Singapura yang terhakis dari lakaran sejarah Singapura.
Begitu juga cubaan menghakis sejarah kedaulatan kesultanan Kedah di Pulau Pinang melalui My Balik Pulau. Pengajaran perlu diambil dari Hukum Kanun Melayu (Malay Digests) terus menerus dihakis daripada menjadi sumber undang-undang setelah diketepikan dengan kedatangan Common Law Inggeris.
Kini umat Islam sedang berhadapan dengan cubaan menghakis Kedaulatan Islam dengan mengutamakan salah tafsiran dan salah tanggapan mengatasi peruntukkan sebenar dalam Perlembagaan.Walaupun Perlembagaan Persekutuan (Perkara 3(1)) memartabatkan Islam sebagai Agama Negara, Malaysia masih dianggap sebagai “Negara Sekular dengan Islam sebagai Agama Rasmi”.
Salah Tanggapan Ke 10 – Berpolitik Secara Islam; Jangan mempolitikkan Islam (political bargaining)
Kebelakangan ini, apabila tanggungjawab memelihara agama Islam dilaksanakan tanpa sebarang pemantauan, wujud kecenderungan sesetengah pihak untuk menggadai kepentingan agama Islam demi meraih sokongan politik. Nama suci Allah tergamak dibiarkan untuk digunakan secara sewenang-wenangnya oleh agama lain atas nama hak asasi manusia.
Sedangkan hakikatnya ia sebahagian dari usaha untuk mengelirukan umat Islam dengan merendahkan nama suci Allah yang termaktub dalam al-Quran kepada hanya sebagai terjemahan kepada perkataan god dalam bahasa Inggeris. Justeru, mana-mana pihak berhak menggunakan nama Allah kepada makhluk-makhluk yang mereka anggap sebagai tuhan mereka.

    Adakah wajar demi kepentingan politik kita membiarkan orang-orang bukan Islam meng”allah”kan apa saja yang mereka anggap tuhan?
    Tentulah amalan sedemikian boleh mengakibatkan redha kepada syirik. Memang kita amat gembira jika penganut agama lain mahu menganggap Allah sebagai tuhan yang maha tinggi, tetapi perbuatan menyifatkan nama Allah hanya sekadar nama am yang bermaksud tuhan amatlah merbahaya dan satu penghinaan kepada ajaran Islam dan umat Islam yang beriman Allah adalah nama khas yang suci bagi Tuhan pencipta sekalian alam – lafzul jalaalah – bukan sekadar a mere word! ALLAH is the one and only god, other gods are not ALLAH!

Begitu juga keadaannya apabila pertimbangan politik memainkan pengaruh yang penting dalam isu Bible Bahasa Melayu, amatlah tidak wajar isu agama dijadikan bahan political bargaining.
Berbagai perkataan bersumberkan ajaran Islam diselewengkan maksudnya dalam bible Bahasa Melayu itu, namun oleh kerana suara umat Islam sudah tidak lagi begitu penting, maka pelbagai pihak cuba menangguk di air keruh dalam situasi politk semasa.
Kesimpulan dan Cadangan
Adalah dijangkakan sekiranya semua salah tanggapan ini tidak diperbetulkan secara menyeluruh dan berkesan, agama Islam akan menjadi amalan ritual yang berpusat di masjid-masjid dan tanah perkuburan sahaja. Pada hari ini fahaman sebegini sudah menular dengan luas di kalangan umat Islam sendiri. Malah tanggapan negative terhadap institusi agama semakin meluas di kalangan generasi muda negara.
Kalau ditafsir secara betul, perlembagaan memberi laluan untuk negara ini menjadi Islam secara total. Sebaliknya jika ditafsir secara liberal, liberal lah jadinya negara ini. Sepatutnya semua dasar, polisi dan undang negara ini perlu digubal atas roh dan semangat artikel 3 – iaitu selaras dengan pegangan agama negara – Islam
Bersandarkan kepada kewajipan Pemerintah untuk memelihara Islam sebagai Agama Negara, kewujudan badan pemantau khusus untuk memastikan semua pihak termasuk pemerintah dan agensi-agensi kerajaan mematuhi prinsip Islam adalah satu keperluan mendesak.
Prinsip kedaulatan undang-undang yang diamalkan dalam negara ini sejak merdeka masih berteraskan prinsip Common Law yang terus mengenepikan prinsip agama sekalipun Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan meletakkan undang-undang Inggeris yang diwarisi sebelum Merdeka boleh dipinda dan diselaraskan dengan keperluan semasa.
Sex bebas masih dianggap sebagai hak kebebasan asasi sedangkan ia bercanggah dengan akhlak dan moral. Arak masih dijadikan sumber hasil negara dan menjadi hidangan berprestij sedangkan ia menimbulkan pelbagai masalah kepada negara.
Kedaulatan Agama Islam diwarisi oleh Kesultanan Melayu sejak kedatangan Islam ke alam Melayu. Negara Malaysia terbentuk hasil dari permuafakan Raja-Raja Melayu yang mewarisi kedaulatan kesultanan Islam dan bukan atas ihsan penjajah Inggeris.
Undang-undang yang berkuatkuasa di negeri-negeri Melayu berpaksikan kepada ajaran Islam (syariah). Mahkamah Rayuan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu juga pernah memutuskan bahawa Syariah adalah lex loci (law of the land) bagi negara ini.
Hakikatnya apabila Negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, negara ini wajib mendaulatkan Agama Islam dan bukan mengamalkan prinsip pluralisme agama. Agama-agama lain bebas untuk diamalkan sebagaimana yang terkandung dalam ajaran Islam. Namun pemerintah tiada berkewajipan untuk memelihara atau memajukan agama-agama lain.
Jika prinsip Hak Asasi Manusia yang tidak dimartabatkan secara nyata dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipatuhi sehingga Kerajaan terpaksa menubuhkan sebuah suruhanjaya, kenapa prinsip Agama Negara (Islam) tiada mekanisme pengawasan khusus bagi memastikan prinsip Islam dihormati dan kedaulatan agama Islam terus dijunjung.
Adakah hari ini pemerintah dan rakyat lebih gerun dan akur kepada prinsip HAM yang pada hakikatnya tiada sepatah perkataan pun yang disebutkan dalam perlembagaan?
Malah prinsip kemanusiaan berlandaskan ajaran Islam yang dipraktiskan oleh Raja-Raja Melayu dan umat Islam di Tanah Melayu jauh lebih berkesan dan memberikan manfaat kepada semua manusia tanpa mengira Agama.

    Prinsip HAM akhir-akhir ini telah melampaui batas agama Negara. Hak kebebasan secara melampau telah dipromosikan hingga menjejaskan hak umat Islam untuk mengamal dan mematuhi ajaran Islam.
    Tuntutan untuk membolehkan umat Islam murtad, hak kepada LGBT, hak persamaan Gender secara melampau, hak kebebasan dari kawalan ajaran agama, hak kesamarataan agama, dan berbagai tuntutan lagi dikemukakan dalam suasana politik Negara yang dirasakan dapat memberi peluang keemasan untuk menggasak Islam.

Pelbagai tindakan dan kenyataan yang bersifat menghina agama Negara tidak dapat dikuatkuasakan oleh pihak berkuaasa agama Negeri kerana undang-undang mengenai agama Islam yang berkuatkuasa di Negeri-negeri hanya boleh dikuatkuasakan ke atas orang Islam sahaja.
Malah kebanyakan warga negara bukan Islam merasakan mereka tidak perlu mematuhi apa-apa undang-undang berkaitan agama Islam. Justeru pelbagai perbuatan dan kenyataan yang bersifat menghina agama Negara tidak dapat diambil tindakan.
Negara perlu mempunyai sebuah Majlis Negara atau Suruhanjaya di bawah naugan MRR dan YDPA bagi memastikan ikrar dan sumpah YDPA atas nama Allah untuk memelihara agama Negara Islam benar-benar dilaksanakan. Islam tidak sewajarnya dijadikan bahan pertimbangan politik (political bargain).
Pendakwaan seharusnya boleh dilakukan bagi mengenakan tuduhan kepada mana-mana pihak yang melakukan kesalahan. Dalam isu penyalahgunaan nama suci Allah, lafaz Allah telah diisytiharkan sekadar terjemahan kepada God dalam bahasa Melayu dan pihak yang menuntut berhak untuk menggunakannya.
Sedangkan terjemahan sebenar dalam bahasa melayu adalah tuhan. Dalam kes ini, perhatian kepada kewajipan untuk memelihara agama Islam sebagai mana yang disumpah oleh YDPA langsung tidak diberikan perhatian. Sebaiknya prinsip HAM yang dijunjung tinggi.
Majlis atau Suruhanjaya ini bertanggungjawab terus kepada Majlis Raja-Raja melalui Yang Di Pertuan Agong dan bebas dari pengaruh politik. Justeru, ia berhak memberikan teguran dan nasihat berasaskan prinsip Islam kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi-agensi nya sama ada secara terus atau melalui laporan tahunan kepada MRR.
Ia juga bertanggungjawab mendengar aduan dari mana-mana pihak mengenai apa-apaperkara yang menyentuh prinsip agama Islam secara langsung atau tidak langsung.
Antara objektif yang dapat dikenal pasti bagi penubuhan majlis sebegini adalah seperti yang berikut:

    Menjadikan kewajipan kepada semua pihak sama ada kerajaan atau rakyat jelata tanpa mengira agama dan bangsa untuk menghormati kedaulatan Islam sebagai agama Persekutuan.
    Meletakkan kewajipan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri-negeri untuk mengambil kira kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan Agama Negeri-negeri dalam merangka dasar dan polisi Kerajaan bagi mengelakkan sebarang bentuk percanggahan dan penghinaan kepada agama Islam.
    Memartabatkan kedudukan Islam sebagai agama Negara dan sistem hidup yang sempurna yang perlu dilaksanakan dalam semua urusan kehidupan dan bukan sekadar agama rasmi atau agama ritual sahaja.
    Memelihara keluhuran dan kesucian agama Islam selama-lamanya dari sebarang bentuk penyelewengan, fahaman moden yang tersasar atau ajaran sesat yang boleh mengelirukan umat Islam.
    Mengembalikan keutuhan Islam sebagai agama bagi Negeri-negeri Melayu yang tidak pernah dijajah atau dicemari oleh nasihat-nasihat penjajah dan prinsip-prinsip moden Barat
    Menyatakan dengan jelas tanggungjawab dan kewajipan Kerajaan Persekutuan untuk memartabatkan kedaulatan Islam dari berbagai-bagai aspek termasuk ekonomi, politik, perundangan, pendidikan budaya dan lain-lain lagi.

——————————————————————————————-
Semoga Allah merahmati usaha kecil umat Islam untuk mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara. DAULATKAN ISLAM – AGAMA NEGARA!
[i] PROF. M. KAMAL HASSAN, PENGKAEDAHAN PENDIDIKAN MELAYU ISLAM
[ii] Menurut Suruhanjaya Reid (Report of the Federation of Malaya Constitutional Comission, London, Her Majesty’s Statitonery Office, 1957 No. 330 or the Reid Commission Report) mengenai agama Islam:
’…The observation of this principle shall not impose any liability on non-Muslim natives professing and practising their religions and shall not imply that the State is not a secular State…’
Begitu juga dengan kenyataan daripada Hakim Abdul Hamid, salah seorang ahli Suruhanjaya Reid mengenai ‘Islam as a State Religion’, di mana kata beliau, pada perenggan 11:
‘It has been recommended by the Alliance that the Commission should contain a provision declaring Islam to be the religion of the State. It was also recommended that it should be made clear in that provision that a declaration to the above effect… will not prevent the State from being a secular State…’
[iii] saranan Kertas Putih (White Paper) iaitu:
‘There has been included in the Federal Constitution a declaration that Islam is the religion of the Federation. This will not in no way affect the present position of the Federation as a secular state…’
[iv] FREEDOM OF RELIGION UNDER FEDERAL CONSTITUTION OFMALAYSIA – A REAPPRAISAL, Mohammed Imam ; [1994] 2 CLJ lvii (June)
[v] Colonial Secretary to Residents, May 17, 1878; E.Sadka, The Malay States 1874-1895, p.102.
[vi] PERLEMBAGAAN SEBAGAI SEBUAH PERNYATAAN SEJARAH DAN TRADISI NEGARA, Dr. ABDUL AZIZ BARI Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


yang menyatakan kebenaran
Ustaz Syed Faiz Al-Idrus As-Sayyid Faez Al 'Aydrus السيد احمد فائزالعيدروس
الله موجود بلا مكان ولا تحيز في أي جهة
Aqidah di dahulukan,
Syari'ah menjadi amalan
Membangun mengikut Islam

0 ulasan:

Catat Ulasan