Pages

Selasa, 18 September 2012

Dewan Ulama' Pas Perak- BAHAYA SALAFIAH WAHABIAH GERAKAN AS-SALAFIYYYAH AL-WAHHABIYYAH PERTENTANGANNYA DENGAN AQIDAH DAN SYARIAT



oleh As-Sayyid Faez Al 'Aydrus pada pada 30hb Julai 2012 pukul 3.27 pagi ·
Dewan Ulama' Pas Perak
Jumaat, 23 September 2011
BAHAYA SALAFIAH WAHABIAH


GERAKAN AS-SALAFIYYYAH AL-WAHHABIYYAH PERTENTANGANNYA DENGAN AQIDAH DAN SYARIAT AHLI SUNNAH WAL JAMAAH.
1. MUQADDIMAH

      GerakanAs-Salafiyyah Al-Wahhabiyyah adalah satu gerakan yang sudah lama bertapak di negara ini.Gerakan ini membawa satu fenomena baru yang menimbulkan berbagai konflik dalam masyarakat Islam tempatan. Mereka menggunakan berbagai nama bagi menggambarkan perjuangan mereka dalam menyebarkan fahaman dan pendekatan mereka di negara ini. Gerakan ini menjadi begitu berpengaruh apabila sebahagian dari mereka dilantik sebagai mufti di sesebuah negeri.Walaubagaimanapun, suatu usaha yang bersepadu haruslah difikirkan bagi mengelakkan kekeliruan yang lebih besar daripada merebak di kalangan masyarakat Islam, terutamanya di negeri-negeri yang berpegang kepada pendapat muktamad di dalam Mazhab Syafie sebagaimana yang diperuntukkan di dalam undang-undang.

2. SEJARAH KEMUNCULAN
  
      Lafaz As-Salafiyyah Al-Wahhabiyyah berasal daripada dua perkataan Salaf dan Wahhab. Menurut Lisanul Arab (Ibnu Manzur : 330-333), lafaz As-Salaf berasal dari perkataan ( سلف يسلف سلفا ) yang bermaksud :

a. Orang yang terdahulu (السلف )
b. Sejenis urusan jual beli (السلف والقرض)
c. Meratakan tanah untuk bercucuk tanam (وسلف الأرض )
d. Memberi pinjaman atau hutang (السلف – والفعل اسلفت )

Apabila lafaz Salaf ditambah dengan huruf Ya nisbiyah maka ianya memberi maksud generasi terawal yang terdiri dari golongan para sahabat, Tabi’in dan Tabi’ Tabi’in. Ini bermakna mereka yang hidup dalam lingkungan 300 tahun selepas hijrah. (Hasyiah Muhammad Bin Muhammad Amir, Syarah Abdul Salam Ibrahim Al-Maliki Ala Jauharat At-Tauhid : 98)

          Aliran Salafiyyah Wahhabiyyah ialah satu aliran yang diasaskan oleh Muhammad Bin Abdul Wahab Bin Sulaiman Bin Ali (1115H- 1206H / 1703M-1792M).Beliau berasal dari negeri Najd yang terletak di sebelah timur Madinatul Munawwarah.Aliran ini dinisbahkan kepada bapa beliau yang merupakan seorang ulamak mazhab Hanbali.Walaubagaimanapun golongan ini tidak selesa digelarkan sebagai golongan Wahabi kerana ianya membawa kepada satu persepsi yang begitu negatif di kalangan Umat Islam.Oleh yang demikian mereka menggunakan berbagai istilah seperti Salafiyyah, Golongan Ahli Sunnah dan sebagainya. Bapa kepada Muhammad bin Abdul Wahab sendiri tidak bersetuju dan begitu kecewa dengan beliau di sebabkan beliau mengambil pandangan yang keras kerana begitu taasub kepada pandangan Ibnu Taimiyyah Al-Harrani. Hasil ijtihad beliau sendiri menyebabkan tindakannya lebih aggresif sehingga mengorbankan ribuan umat Islam berbanding Ibnu Taimiyah sendiri yang hanya menggunakan mata pena sahaja. Abangnya juga, Sulaiman Bin Abdul Wahab turut menjadi penentang hebat beliau.

3. PERTENTANGAN DENGAN AHLI SUNNAH

          Terdapat berbagai pertentangan antara golongan ini dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mana bukan sahaja melibatkan masalah-masalah Furu’ (Feqah) malah turut melibatkan masalah Usul (Aqidah). Di antara pertentangan dalam masalah aqidah adalah :

a. Mereka menolak dan menyesatkan pengamal pendekatan Tauhid Sifat 20 dan membahagikan tauhid kepada 3 iaitu Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Asma Was Sifat.

b. Berpegang dengan ayat-ayat mutasyabihat secara zahir sehingga sampai ke peringkat menyamakan Allah dengan makhluk (Musyabbihah Mujassimah). Contohnya :

Allah duduk di atas Kursi
(Fathul Majid, Abdul Rahman Bin Hasan Bin Mohd Bin Abdul Wahab, cet. Darul Salam, Riyadh)

c. Menganggap syirik berbagai amalan ahli sunnah seperti Selawat Syifa’ dan Selawat Tafrijiyyah sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Baz. (Mohd Jamil Zainu, Kaifa Ihtadaitu Ila Tauhid, ms 83 dan 89)

d. Pengikut Asya’irah dan Maturidiyah tidak layak digelar sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah. (Soleh Fauzan, Min Masyahir Al-Mujaddidin Fil Islam, ms 32, terbitan Riasah Ammah Lil Ifta’)

e. Memerangi Tareqat Kesufian – Perangilah golongan sufi sebelum kamu memerangi Yahudi, sesungguhnya Sufi itu adalah roh Yahudi. ( Majmu’ul Mufid Min Aqidatit Tauhid, ms 102, Maktabah Darul Fikr, Riyadh)

f. Menganggap pelaku berbagai amalan ahli sunnah sebagai melakukan bid’ah dhalalah dan akan menjadi penghuni neraka.

          Manakala pertentangan dalam masalah furuk (feqah) adalah terlalu banyak dan mereka mengatakan begitu banyak amalan-amalan yang dilakukan oleh kebanyakkan Umat Islam di negara ini sebagai bid’ah. Di antaranya adalah :

1. Bacaan Yasin beramai-ramai setiap malam Jumaat.
2. Tahlil Arwah.
3. Kenduri Arwah.
4. Bacaan Quran di samping jenazah.
5. Bacaan Quran di kubur.
6. Bacaan Fatihah ketika jenazah keluar dari rumah.
7. Boleh memberi dan menjawab salam orang kafir.
8. Mengharamkan bertawassul dengan kemuliaan nabi.
9. Majlis sambutan Maulid Rasul adalah bid’ah dan haram.
10. Wanita haram menziarahi kubur walaupun maqam Rasulullah.
11. Haram memotong janggut walaupun sedikit.
12. Wanita haram memakai seluar walaupun longgar termasuk di hadapan suami.
13. Lafaz صدق الله العظيم adalah bid’ah yang sesat.
14. Perempuan dilarang memandu kereta.
15. Suara wanita adalah aurat.
16. Waktu Imsak di Bulan Ramadhan adalah bid’ah yang sesat.
4. SEJARAH GERAKAN INI DI MALAYSIA

          Gerakan ini telah bermula di Malaysia semenjak tahun 1950 an lagi. Di antara tokoh yang menonjol dalam gerakan ini adalah seperti Sheikh Abu Bakar Asy’ari di Perlis dan Sheikh Ibrahim Al-Aqibi di Pulau Pinang.Dikatakan bahawa mereka ini adalah merupakan anak murid kepada Hasan Bandung dari gerakan Muhammadiyyah di Indonesia.Di Singapura gerakan ini dirintis oleh Syed Sheikh Al-Hadi dan Sheikh Tahir Jalaluddin melalui majalah al-Imam di ambang kurun ke 20. Di Melaka, atas nama Ansarul-Sunnah gerakan ini digerakkan oleh Ustaz Haji Mohammad Amin. Di Negeri Sembilan lahirnya Ustaz Abdul malik dan Ustaz Hashim Ghani.

          Pernah diadakan pertemuan antara ulamak di Negara ini dengan mereka, antaranya yang telah dihadiri oleh Sheikh Ghazali, Mufti Perak, Sheikh Abu Bakar Al-Baqir dan lainnya dengan tokoh mereka sehingga berakhir dengan kegagalan Sheikh Ibrahim Al-Aqibi menjawab beberapa soalan yang diajukan. Ini menyebabkan beliau jatuh dari kerusi dan meninggal kerananya.

          Sheikh Abdul Qadir Al-Mandili pernah menulis ktab berjudul “Sinar matahari buat penyuluh kesilapan Abu Bakar Asy’ari” yang telah dicetak di Mesir pada Muharram tahun 1379H.Pada tahun 1953, kitab “Senjata Syariah” telah ditulis oleh Abu Qaniah dan Abu Zahidah, yang telah ditashihkan oleh Sheikh Abdullah Fahim, Tuan Haji Ahmad Tuan Hussin Pokok Sena dan Haji Abdul Rahman bin Haji Abdullah Merbuk Kedah.

5. SEKILAS BERKAITAN BID’AH

          Bid’ah dari segi bahasa bermaksud memulakan sesuatu dan menciptanya tanpa contoh sebelumnya. Bid’ah adalah kata nama (isim) daripada “الإبتداع“ dengan makna “أنشأه وبدأه“ menciptakannya dan memulakannya.Juga “البدع والبديع“ dengan makna sesuatu yang pertama kali wujud. Dalam Al-Quran Surah Al-Ahqaf ayat 9, Allah menyebutkan :

قُلْ مَا كُنتُ بِدْعًۭا مِّنَ ٱلرُّسُلِ
Aku bukanlah yang pertama di kalangan para rasul

Abu Nu’man meriwayatkan daripada Ibrahim bin Al-Junaid, katanya : Aku mendengar A-Shafie berkata :

          Bid’ah terbahagi kepada 2, iaitu Bid’ah Mahmudah dan Bid’ah Mazmumah. Apa yang sejajar dengan sunnah dikira terpuji dan apa yang bercanggah dengan as-sunnah dikira tercela.

          Dalam kitab Manaqib al-Shafie, al-Baihaqi meriwayatkan daripada beliau (al-Shafie) katanya ; perkara–perkara baru ada dua bentuk :

Pertama : Perkara baru yang diada-adakan itu bercanggah dengan ajaran al-Quran dan as-Sunnah atau athar atau ijmak. Inilah bid’ah yang sesat.

Kedua : Perkara baru yang baik dan tidak bercanggah dengan mana-mana perkara yang disebutkan (al-Quran, as-Sunnah, athar dan ijmak) maka ia tidak dicela.

           Dalam hal ini Saidina Umar pernah menyebutkan mengenai Solat Terawikh secara berjemaah pada Bulan Ramadhan dengan katanya ; .نِعْمَتُ البِدْعَةُ هذِهِ

          Ibnu Taimiyah menentang pendapat yang membahagikan bid’ah kepada Bid’ah Hasanah dan Bid’ah Dhalalah.Beliau menyatakan hujah-hujahnya dalam kitabnya, Iqtidha’ al-sirat al-Mustaqim. Pendapat inilah yang dipegang oleh Muhammad bin Abdul Wahhab, pengasas gerakan Wahhabi dan mereka yang sehaluan dengannya.

Walaubagaimanapun bukan sedikit ulamak yang membuat pembahagian seperti berikut. Antaranya adalah :

a. Imam Muslim, Imam Nasaie dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jarir Bin Abdullah : 

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ أَبِي الشَّوَارِبِ حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْمَلِكِ بْنُ عُمَيْرٍ عَنْ الْمُنْذِرِ بْنِ جَرِيرٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَنَّ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا كَانَ لَهُ أَجْرُهَا وَمِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا لَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ سَنَّ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْئًا

          Sesiapa yang membuat sesuatu yang baik lalu diamalkan amalan tersebut, maka baginya pahala dan juga pahala seumpama orang yang melakukannya tanpa dikurangi pahalanya sedikitpun, dan sesiapa yang membuat sesuatu yang tidak baik lalu diamalkan amalan tersebut, maka baginya dosa dan juga dosaseumpama orang yang melakukannya selepasnya tanpa dikurangi dosanya sedikitpun.

Imam Nawawi mengatakan bahawa hadis ini menggesa Umat Islam agar merintis jalan-jalan kebaikan dan mempelopori sunnah-sunnah yang baik.

b. Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abu Juhaifah, katanya, Rasulullah saw bersabda :

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ يَحْيَى حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ حَدَّثَنَا إِسْرَائِيلُ عَنْ الْحَكَمِ عَنْ أَبِي جُحَيْفَةَ قَالَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَنَّ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كَانَ لَهُ أَجْرُهُ وَمِثْلُ أُجُورِهِمْ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ سَنَّ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهُ وَمِثْلُ أَوْزَارِهِمْ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْئًا
           Sesiapa yang membuat sesuatu yang baik lalu diamalkan amalan tersebut selepasnya, maka baginya pahala dan juga pahala seumpama orang yang melakukannya tanpa dikurangi pahalanya sedikitpun, dan sesiapa yang membuat sesuatu yang tidak baik lalu diamalkan amalan tersebut selepasnya, maka baginya dosa dan juga dosaseumpama orang yang melakukannya tanpa dikurangi dosanya sedikitpun.

c. Ahmad, al-Bazzar dan al-tabarani dalam kitab al-Awsat meriwayatkan dengan sanad yang hasan daripada Huzaifah, katanya nabi bersabda :

حدثنا عمر بن حفص السدوسي قال : نا عاصم بن علي قال : نا أبي علي بن عاصم ، عن خالد الحذاء ، عن محمد بن سيرين ، عن أبي عبيدة بن حذيفة ، عن أبيه حذيفة قال : كنا عند النبي صلى الله عليه وسلم فقام علينا سائل فسكت القوم، ثم عاد فسأل ، فأعطاه بعض القوم خاتما أو شيئا ، فتتابع القوم ، وأعطوه ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم :  من سن سنة حسنة فاتبع عليها فله أجره ، ومثل أجور من تبعه عليها ، غير منتقص من أجورهم شيئا ، ومن استن سنة سيئة فاتبع عليها فعليه وزرها (1) ، ومثل وزر من اتبعه عليها ، غير منتقص من أوزارهم شيئا

          Sesiapa yang melakukan sunnah yang baik lalu sunnah itu diikuti orang maka baginya pahaladan pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa berkurang sedikitpun. Sesiapa yang melakukan sunnah yang buruk lalu sunnah itu diikuti orang maka baginya dosa dan dosa seperti orang yang mengikutnya tanpa berkurang sedikitpun.

6. KESIMPULAN

          Apa yang dibentangkan di atas adalah sebahagian daripada perbincangan ringkas ulamak berkaitan persoalan bida’ah yang menunjukkan ianya adalah merupakan persoalan khilafiyyah yang memerlukan kepada sikap keterbukaan daripada semua Umat Islam. Setiap mujtahid mempunyai pandangan dan ijtihad tersendiri dan tidak ada mana-mana golongan yang berhak memaksa pandangan mereka diterima pakai oleh semua Umat Islam.

          Walaubagaimanapun perbezaan dari sudut aqidah dan iktikad adalah merupakan perbezaan yang tidak seharusnya diberi ruang tolaransi keran ianya akan menentukan samada kita berada dalam kesesatan ataupun berada di landasan yang sebenar. Pendirian kita hendaklah menjurus kepada pegangan terhadap pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi titik sempadan kepada ketepatan pegangan kita terhadap ajaran Allah dan Rasulnya. Oleh yang demikian, semua pihak digesa untuk kembali menghayati ajaran Allah dan Rasul dengan mendasarkan segala pegangan terhadap ajaran Ahli sunnah Wal Jamaah. Semoga dengan ini kita dapat menyatukan Umat Islam demi mengelakkan sebarang bibit–bibit perpecahan yang nyata akan merugikan Umat Islam di negara ini.

7. PENUTUP

          Semoga dengan perbincangan ini akan dapat merungkaikan berbagai masalah yang membelenggu Umat Islam di negara ini.

Disediakan oleh :

DEWAN ULAMAK PAS NEGERI PERAK.

http://dewanulamakpasperak.blogspot.com/2011/09/bahaya-salafiah-wahabiah.html

Posted by Dewan Ulamak Pas Perak at 1:29 PG
Labels: Tarbiah Dan Dakwah


Wasiat Syeikh Abdullah Fahim. Bismillahir Rahmanir Rahim. Alhamdulillah was sholatu was salamu 'ala Sayyidina Muhammad wa 'ala alihi wa ashabihi. (Amma ba'd), tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu seMalaya ini dari peringkat ke bawah hingga ke peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri hingga raja-raja sekalian mereka itu bermazhab dengan mazhab al-Imam asy-Syafi`i ijma`an tiada seorang pun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafi`i (yahrumu kharqul ijma`/ diharamkan merobek ijma`). Ambil mereka itu hukum-hukum fiqh Syafi`i daripada kitab Tohfah dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabilal Muhtadin, Bughyatuth Thullab dan Mathla`ul Badrain dan lainnya. Usuluddin atas perjalanan Abil Hasan al-Asy`ari diambilkan daripada syuruh dan hawasyi Ummul Barahin dan Jawharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu. Ilmu tasawwuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhajul 'Abidin, Ihya` Ulumiddin dan terjemahnya kepada Melayu seperti Siyarus Salikin. Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya segala hukum dalamnya kesemua mustanbath daripada Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-u ajilla` (ulama yang cemerlang lagi terbilang) diamal dengan dia sudah lebih daripada 1000 tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun. Ikhwah, di mana salah silapnya mazhab Syafi`i sehingga kita hendak gugah pegangan masyarakat kita terhadapnya. Jika mazhab Syafi`i mensunnatkan qunut dalam sembahyang Subuh kenapa kita nak tolak dengan mendatangkan pendapat mazhab lain ? Salahkah mazhab Syafi`i ? Bukankah ini hanya perkara khilafiyyah, yang pihak-pihak kena menghormati sesamanya. Masyarakat kita yang sudah sebati dengan qunut, dengan talaffuz bin niyyah, kenduri tahlil dan sebagainya, bukankah semua hal ini termasuk khilafiyyah yang sewajarnya ditangani dengan lapang dada, bukan dengan tuduhan bid`ah membid`ah, sesat menyesat dan sebagainya. Wasiat Syaikh Abdullah Fahim 1 . Dalam buku "Tokoh-tokoh Ulama' Semenanjung Melayu (2)" dipetik antara pesanan beliau:- Supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab 4 mazhab Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang jati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu. Hukum-hukum mereka itu diambil daripada kitab Hadyur-Rasul yang mukhtasar daripada kitab Hadyul-'Ibad dikarang akan dia oleh Ibnul Qayyim al-Khariji, maka Ibnul Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam Mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu akan masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri. Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu maka bunuhlah akan dia.
Tuan Guru Hj AbduLLOH geting
Al-Marhum Tuan Guru Hj AbduLLOH lubuk tapah bersama pemimpin PAS
Al-Marhum Tuan Guru Hj AbduLLOH lubuk tapah bersama pemimpin PAS

0 ulasan:

Catat Ulasan