Pages

Selasa, 22 Januari 2013

UCAPAN AL-IMAM AL-AKBAR.












بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله، والصلاة والسلام على سيدنا رسول الله، محمد ﷺ



Dengan nama Allah kami membuka laman web berbentuk ilmiah bagi Pertubuhan Antarabangsa Alumni Universiti al-Azhar al-Syarif dan barisan ulamak nya di seluruh pelusuk dunia bermula dari Afrika Selatan sehingga ke Eropah dan Rusia di Utara, di Benua Amerika dari sebelah Barat sehingga Cina dan Jepun di sebelah Timur.

Di atas nama puluhan ribu siswazah lepasan al-Azhar, sekiranya anda mampu menyebutnya dalam bentuk bilangan dan juga menyenaraikan nama mereka yang mencapai jumlah puluhan ribu nama, saya ingin mengalu-alukan para pengunjung laman web ini yang terdiri daripada para pengkaji yang ingin mengkaji realiti Islam yang sebenar dan mereka yang ingin mengetahui ilmu pengetahuan, kebudayaan, peradaban, dan akhlak. Juga untuk para penulis yang pakar dan berautoriti. Melalui laman web ini, para ulamak al-Azhar ingin memperkenalkan gedung ilmu yang paling bersejarah, dimana telah menjangkau umurnya lebih dari 1050 tahun. Oleh kerana itu, al-Azhar layak memikul tugas bagi menerangkan Islam sebagai sebuah risalah ketuhanan yang merupakan penutup kepada risalah-risalah yang lalu. Kedudukan risalah Islam berada di lingkaran yang terakhir di dalam siri agama tuhan yang satu, dimulai dengan pengutusan nabi Adam a.s melalui nabi Nuh, Ibrahim, Musa, Isaa ibnu Maryam dan penutupannya dengan nabi Muhammad s.a.w. Salam sejahtera Allah ke atas semua para nabi.

Objektif utama laman web ini untuk menerangkan konsep Islam kepada semua manusia seperti terkandung di dalam kitab suci al-Quran dan juga sebagaimana yang disampaikan oleh junjungan besar kita nabi Muhammad s.a.w kepada umat manusia. Agama Islam ialah sebuah tamadun yang diturunkan bersesuaian dengan realiti kehidupan manusia serta mampu membawa kebahagiaan kepada mereka selama-lamanya samada di timur atau di barat. Tamadun ini telah memberi saham dalam membina tamadun kemanusiaan serta berinteraksi dengan berbagai tamadun dunia yang lain dalam bentuk memberi dan menerima.

Tamadun Islam berbekalkan dengan kekuatan budaya ilmu yang bersumber  dari sebuah khazanah keilmuan, kesenian, sastera, falsafah, perundangan, akhlak, matematik, perubatan, astronomi,  muzik dan berbagai khazanah ilmu yang lain yang diambil dari perbendaharaan lama dan baru yang bersumber dari para ulamak dan pemikir Islam.

Halaman ini juga akan memperkenalkan konsep Islam yang sebenar dan tidak terkeluar daripada lingkungan pengertian Islam yang jitu. Ini bererti pembentangan ini tidak mempunyai agenda politik atau propaganda keagamaan, bahkan tujuan sebenar kami adalah untuk menyampaikan Islam sebagai sebuah agama, tamadun dan budaya ilmu, dengan huraian secara jujur dan bersih. Huraian ini, jauh dari kepalsuan dan penyelewengan dari sudut ilmu dan sejarah dimana memang terdapat banyak penyelewengan dalam kedua bidang ini diatas rupa bentuk Islam yang asal yang boleh memberi persepsi buruk kepada imej Islam dikalangan ramai para pencari kebenaran dalam memahami intipati agama yang bertoleransi ini.

Memang di ketahui umum, Institusi al-Azhar telah mengambil peranan dan tanggungjawab bagi memelihara kesucian, kesederhanaan dan wasatiyah Islam semenjak lebih dari 10 kurun yang lalu. Kini al-Azhar adalah sebuah institusi yang paling layak serta memiliki tenaga kekuatan dalam kesinambungan menyonsong kemaraan perjuangan dengan lebih stabil lagi mantap dalam memperjelaskan Islam serta sifatnya yang seimbang. Islam terus maju memberi sumbangannya yang bernilai dalam semua bidang ilmu pengetahuan serta perkembangan peradaban dan moral kemanusiaan itu sendiri.

Semasa membuka laman web ini, kami telah cuba memberi fokus terhadap satu isu dimana fonomena tidak menentu yang kembali berulang pada penghujung kurun ke-20 dan menjelang awal kurun ke-21. Perkembangan ini membawa kesan negatif terhadap isu hubungan diantara Islam dan barat lalu membentuk apa yang dipanggil sebuah jurang antara barat dan timur. Keadaan ini menyerupai sebuah tembok tebal yang berpunca dari salah faham  kedua-dua pihak, barat dan juga Islam. Krisis ini hampir-hampir mengundang kembali sejarah yang telah dilupai manusia di timur dan di barat tentang pertarungan yang berlaku pada kurun pertengahan serta permasalahan fasa penjajahan.

Institusi al-Azhar adalah aset utama rujukan bagi umat Islam dahulu dan kini. Lantaran itu al-Azhar merupakan sebuah badan yang paling layak kembali memikul risalahnya yang terkini dalam proses merapatkan hubungan tamadun-tamadun dunia serta menutup jurang perbezaan di antara Islam dan dunia barat. Al-Azhar berperanan membina jambatan perhubungan diantara seorang insan dengan saudaranya insan yang lain tanpa mengira batas kedudukan seseorang itu dari sudut akidah dan mazhabnya, warna kulit, kaum dan bahasa. Nabi  Muhammad s.a.w telah menerangkan konsep kemanusian itu katanya; manusia adalah sama seperti gigi sikat. Mereka berasal dari ibu dan bapa yang satu. Mereka adalah bersaudara mara yang sama kedudukannya, dijadikan dari jiwa yang satu walaupun berbilang warna kulit dan bangsa. Mereka akan kembali kepada asal usulnya iaitu kepada bapa yang satu juga.

Konsep persamaan ini, adalah bertepatan dengan realiti al-Quran yang berpandangan bahawa tidak ada tempat dalam Islam bagi sebarang dakwaan yang bersifat keistimewaan, berbau perkauman, perpecahan antara manusia atas asas bangsa dan warna kulit.

Ukuran nilai keistimewaan menurut pandangan Islam diputuskan melalui ukuran yang satu sahaja, iaitu melakukan amalan yang soleh yang menepati ciri-ciri yang diterima oleh Allah.

Firman Allah

يَا أَيُّهَـا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

 “ Wahai manusia, hendaklah kamu takutkan tuhan kamu yang menjadikn kamu dari jiwa yang satu dan dijadikan daripadanya pasangan lalu Allah perkembangbiakkan  dari keduanya lelaki serta perempuan yang ramai. Bertakwalah kepada Allah yang dengan nama Nya kamu saling meminta dan peliharalah hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu ” ( Surah An-nisa ayat 1 ).

Firman Allah

يَا أَيُّهَـا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

 “ Wahai manusia, Sungguh, kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh Allah maha mengetahui, maha teliti ” ( Surah al-Hujarat ayat 13)

Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w telah melalui sebuah perjuangan hidup sepanjang 23 tahun dengan menanam didalam lubuk hati umat Islam konsep persamaan di antara manusia lalu memantapkan dalam jiwa mereka dan mengukuhkan lagi konsep tersebut di dalam aktiviti muammalat mereka dengan orang lain. Di mana beliau membuat penyataan tersebut pada ucapan terakhirnya yang disampaikan kepada umat Islam semasa Haji Wida’. Beliau memulakan kata-katanya “Wahai manusia, dengarlah baik-baik dan sedarlah kemungkinan aku tidak akan bertemu kamu lagi selepas tahun ini. Sesungguhnya tuhan kamu adalah satu dan bapa kamu adalah satu. Setiap kamu berasal dari Adam dan Adam dari tanah. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang bertakwa dikalangan kamu. Bahawa tidak ada kelebihan antara orang arab keatas orang ajam, tidak ada kelebihan bagi orang ajam keatas orang Arab. Dan tidak ada kelebihan bagi org kulit merah keatas org berkulit putih kecuali orang yang bertakwa. Lihatlah adakah aku telah menyampaikan. Ya Allah saksikanlah bahawa aku telah menyampaikan. Sesungguhnya hendaklah orang yang hadir pada hari ini menyampaikan pada orang yang tidak hadir”.

Saudara-saudara pengunjung yang dihormati, sekali lagi saya mengalu-alukan saudara di laman yang baru ini yang dilancarkan dari al-Azhar al-Syarif. Terpancar dengan terserlah dari menara dan kubahnya yang berdiri teguh dihujung dasarnya sepanjang era dan zaman. Kami ingin mengalu-alukan anda sebagai seorang saudara kami di dalam kemanusiaan sebagai teman dalam menimba ilmu pengetahuan, sebagai sahabat dalam berdialog, sebagai rakan kongsi dalam mencapai satu tahap perhubungan diantara tamadun timur dan barat.

Semoga Allah memberi taufiq kepada kita semua lalu membawa kearah apa yang disukai dan diredhaiNya.

Prof. Dr. Ahmad Al-Tayyib

Sheikh al-Azhar al-Syarif.

Presiden

Pejabat Pertubuhan Antarabangsa Alumni al-Azhar



p/s: Para pembaca yang budiman boleh layari link ini http://www.waag-azhar.org/ untuk memperoleh maklumat-maklumat berfaedah



yang menyatakan kebenaran
Ustaz Syed Faiz Al-Idrus As-Sayyid Faez Al 'Aydrus السيد احمد فائزالعيدروس
الله موجود بلا مكان ولا تحيز في أي جهة
Aqidah di dahulukan,
Syari'ah menjadi amalan
Membangun mengikut Islam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan